
Tapak Budaya
Himpunan video-video tentang tapak budaya di Lembah Lenggong.
Gua Gunung Runtuh
Mohd Rosli merupakan antara orang pertama yang bersama pengkaji dari USM yang menjumpai Perak Man di Gua Gunung Runtuh. Kali ini beliau membawa kami semula ke gua tersebut dan menceritakan bagaimana Perak Man itu dijumpai. Sehingga sekarang kesan siput sedut yang menjadi alas rangka Perak Man itu masih ada di dalam Gua Gunung Runtuh ini.
Bukit Bunuh
Bukit bunuh ini dipercayai merupakan salah satu penempatan awal manusia di Lenggong. Ini berdasarkan beberapa bukti yang ditemui di Batu batu yang terdapat di Bukit Bunuh ini. 1.8 juta tahun dahulu Bukit Bunuh ini telah dihentam oleh batu meteor dan kesan daripada hentaman itu terhasillah bukit yang dipanggil sebagai Bukit Bunuh.
Debu Toba
Debu Toba yang terdapat di daerah Lenggong ini terhasil daripada letupan gunung berapi di Indonesia beberapa ratus ribu tahun dahulu. Dipercayai debu ini menutupi cahaya matahari dan udara selama lebih kurang dua minggu dan akibatnya semua kehidupan yang berada di sini mati kesemuanya. Jika dilihat sekarang, kesan debu toba ini jelas berada di merata daerah Lenggong terutamanya di Bukit Sapi, Kampung Chepor dan Kampung Luat.
Bukit Jawa
Jika kita lihat bukit Jawa ini terdapat kesan lapisan kelikir Sungai Perak yang menunjukkan bahawa Bukit Jawa ini merupakan laluan Sungai Perak pada suatu ketika dahulu. Selain itu di Bukit Jawa ini juga terdapat penemuan bukti tapak masyarakat Paleolitik menjadikan tempat ini sebagai bengkel penghasilan barangan alatan batu mereka. Ini menunjukkan bahawa bengkel masyarakat Paleolitik suatu ketika dahulu adalah terletak di sini di mana ianya berhampiran dengan laluan Sungai Perak yang lama.
Gua Harimau
Gua harimau terletak di kompleks batu kapur Bukit Gua Harimau, Lenggong Perak. Ekskavasi yang dijalankan oleh pengkaji dari USM pada tahun 80an dan 90an menemukan tapak pengebumian manusia yang berusia 2000 hingga 5000 tahun dahulu. Selain daripada itu di tapak gua ini juga ditemui pelbagai barangan yang terdiri daripada bekas tembikar, alat batu, kapak gangsa, perhiasan badan dan sisa makanan. Dipercayai di gua inilah tempat berehat sepasang harimau pada masa-masa tertentu dan disebabkan itulah nama gua ini diberi nama Gua Harimau.
Masjid Raja Kampong Chepor
Menurut Lukhman atau lebih dikenali sebagai Aki oleh penduduk kampung, Masjid Raja ini dianggarkan berusia lebih kurang 400 tahun dan dipercayai masjid ini salah satu masjid yang tertua yang terdapat di tanah Melayu. Keunikan masjid ini terletak pada seni binanya dan tapak masjid itu sendiri di mana seni bina masjid ini bukan sekadar senibina biasa malahan ianya mempunyai falsafah tersendiri. Tapak masjid ini dahulunya hanya menggunakan lapisan debu Toba yang mana kesannya sehingga sekarang kita masih boleh lihat di sekitar Masjid Raja ini.
Telaga Biru
Di kampung Chepor lenggong Perak terdapat sebuah telaga yang mana airnya berwarna biru. Telaga ini telah lama digunakan oleh orang kampung untuk menjadi sumber air utama mereka sebelum kemasukan paip bekalan air bersih. Telaga ini dipercayai mempunyai kandungan mineral yang mampu menyembuhkan pelbagai penyakit kulit. Sekarang ini ianya menjadi salah satu tapak yang sering dilawati pelancong dalam dan luar negara apabila datang ke Lenggong. Keunikan telaga ini ianya tidak pernah kering sejak dahulu sehingga sekarang dan ianya juga merupakan sebuah telaga yang mana airnya sentiasa melimpah keluar.


